Breaking News
Loading...
Monday, April 15, 2013

Info Post






RANTAU, 14 April -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan dan menolak Pakatan Pembangkang di dalam Pilihanraya Umum Ke 13 pada 5 Mei ini.

Menurut beliau, Pakatan Pembangkang tidak lain hanyalah mahu memecah belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dengan membawa budaya politik kebencian dikalangan rakyat.

"Mereka ini (pembangkang) cuba memecah belahkan keharmonian yang sudah wujud di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dengan tohmahan dan fitnah yang tidak ada asasnya.

"Mereka juga hanya tahu berjanji, tetapi tidak tahu melaksanakan segala janji-janji mereka kepada rakyat. Lihat saja contoh yang berlaku di Pulau Pinang, di Selangor dan di negeri-negeri yang mereka kuasai hari ini, segala janji-janji mereka tidak dilaksanaka. Mereka hanya membohongi rakyat untuk kepentingan agenda politik mereka saja," tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 jentera BN di dalam program Pelancaran Jentera BN Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, Negeri Sembilan hari ini.

Tambahnya lagi, sikap kepimpinan Pakatan Pembangkang yang bertelagah sesama sendiri dalam pelbagai isu, termasuk isu pembahagian kerusi serta tidak ada persefahaman di mana setiap parti mempunyai tuju dan matlamat tersendiri sudah cukup untuk membuktikan pembangkang tidak mampu untuk mentadbir negara ini.

"Kita tak boleh memberikan kuasa kepada Pas yang membawa politik kebencian sesama Islam. Begitu juga dengan DAP yang terkenal dengan sikap cauvinis dan rasis serta PKR yang tidak tahu membezakan siang atau malam, jantan atau betina,"kata beliau sinis.

Jelasnya lagi, ini amat berbeza dengan pakatan parti politik di dalam BN yang sudah mempunyai rekod persefahaman serta satu matlamat dalam membangunkan negara sejak lebih 55 tahun yang lalu.

"Di dalam BN kita ada 14 buah parti politik yang pastinya membawa agenda kepentingan masing-masing, namun di bawah lambang BN kita mampu untuk bersama dalam satu matlamat demi kepentingan nasional untuk semua kaum yang ada di negara ini.

"Dengan kerjasama dan kesatuan dalam satu matlamat di dalam BN untuk kepentingan bersama, maka kita mampu untuk mentadbir dan membangunkan negara dengan baik serta berjaya mewujudkan kestabilan dan keharmonian antara kaum yang telah kita kecapi selama ini," ujarnya.

Beliau seterusnya melontarkan keyakinan bahawa BN akan terus mengekalkan penguasaannya di peringkat kerajaan negeri dan juga pusat pada PRU ke 13 ini.

"Apa yang saya lihat, sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dengan dasar-dasar dan program kerajaan yang hari ini yang membuktikan bahawa kerajaan BN benar-benar serisu dan komited dalam usaha untuk membela rakyat dan memakmurkan negara.

"Saya juga yakin bahawa sekiranya semangat jentera BN seperti yang diperlihatkan hari ini, dengan kesungguhan parti-parti komponen BN seperti MIC, MCA, Gerakan, PPP dan lain-lain yang berusaha meyakinkan rakyat agar terus memilih BN untuk menerajui negara, tidak mustahil BN mempunyai peluang cerah untuk memperolehi kemenangan 2/3 kerusi parlimen pada pilihanraya ke 13 ini," ujarnya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan ahli parlimen Rembau, termasuk ketua-ketua parti-parti komponen BN parlimen Rembau. -MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment